Bob Kuman cedera jatuh dalam bilik air



BOB KUMAN menceritakan insiden yang dialaminya sehingga menyebabkan dia terlantar di Hospital Pakar KPJ Tawakal, Kalau Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Penyanyi, pelakon dan pelawak popular, Bob Kuman dikejarkan ke Hospital Pakar KPJ Tawakal di sini selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Kota Damansara kelmarin.

Bob atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, 40, dimasukkan ke hospital tersebut setelah mengalami kecederaan di muka, hidung dan tangan.

Katanya, dia terjatuh sewaktu bangun dari katil dan berjalan menuju ke bilik air untuk menunaikan solat Zuhur sebelum mahu menghadiri program Maharaja Lawak Malaysia (MLM).

“Saya terjaga daripada tidur pukul 1 petang semalam (kelmarin), dalam keadaan mamai saya turun dari katil sebelum tergelincir.

“Saya sempat menahan pintu bilik air dengan tangan tetapi jatuh dan kepala terhantuk ke mangkuk tandas,” katanya ketika ditemui di hospital itu semalam.

Akibat kejadian itu, Bob mengalami kecederaan di muka dan tangan selain memerlukan bantuan pernafasan kerana hidungnya yang bengkak dan sukar bernafas.

Bob yang mempunyai berat badan hampir 200 kilogram mengakui terlalu penat sebab sibuk menguruskan perniagaan kedai makan Bawal Power, menyertai MLM selain projek sosial, 30 kilogram in 120 days.

“Doktor menyarankan saya berehat di hospital kerana terlalu penat dengan kerja seni serta perniagaan, tapi saya ada banyak tanggungjawab di luar sana,” ujarnya.

Biarpun tidak tahu bila dia akan keluar dari hospital, Bob yang ditanya sama ada akan berhenti dari program MLM tetap bersedia untuk kembali beraksi pada minggu depan.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui tersentuh di atas semangat gandingannya dalam Bawal Power iaitu Sobri atau nama sebenarnya Mohd. Sobri Anuar Mohd. Tarmizi, 35, yang terpaksa membuat persembahan secara solo dalam MLM minggu ke-4 kelmarin.

“Saya tidak sangka Sobri mampu membuat yang terbaik.

“Saya tengok apa yang Sobri buat semalam, memang saya tersentuh sebagai seorang sahabat, terima kasih,” ujarnya yang dijaga oleh tunangnya yang hanya ingin dikenali sebagai Normah.


Dari - Kosmo 20/11/2011






No comments:

Post a Comment

Salam.
Meh le comment sikit.